Tuesday, 26 July 2011

Mengorak kemerdekaan negara

Sejarah perjuangan kemerdekaan negara bermula dari saat kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Selepas kekalahan Portugis kepada Belanda pada tahun 1641, sejarah perjuangan menentang penjajah menyaksikan penentangan yang dilakukan oleh pemerintah dan rakyat seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada zaman ini juga, lahir tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 sehingga beliau terbunuh di Teluk Ketapang. Dalam tempoh sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu di awal 1780an, tidak banyak sumber yang mengisahkan tentang kebangkitan perjuangan menentang Belanda di negara ini.

Kehadiran British dan campur tangan mereka dalam pentadbiran tempatan telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan untuk membebaskan tanah air daripada kuasa asing. Gerakan penentangan ini berlaku bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu malahan Sabah dan Sarawak. Gerakan menentang Inggeris telah melahirkan tokoh tokoh pejuang tempatan seperti Penghulu Dol Said dan Yamtuan Tunku Antah di Negeri Sembilan, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah dari Perak, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdullah Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak, Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.

Walaupun terdapat sedikit kejayaan di peringkay awal tetapi semua gerakan penentangan tersebut berakhir dengan kegagalan. Namun, semangat juang tetap diteruskan kerana penduduk pribumi tidak mudah menyerahkan tanah air mereka kepada kuasa asing.

Setelah melalui perjuangan ang panjang tanpa kekuatan senjata yang mencukupi maka perjuangan diterusakan melalui penulisan. Dengan itu, pelbagai akhbar dan majalah diterbitkan seperti Al-Iman, Neraca, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain lain. Antara tokoh yang terlibat dalam perjuangan melalui mata pena adalah seperti Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Zainal Abidin Ahmad(Za’aba) dan Abdul Rahim Kajai.

Pendudukan Jepun pada tahun 1942 sehingga 1945 telah menimbulkan pelbagai kesan yang mendalam kepada penduduk Tanah Melayu. Banyak perubahan berlaku sama ada dari segi psikologi, social mahupun politik yang menyebabkan penduduk Tanah Melayu lebih peka terhadap perkembangan di sekeliling mereka.

Oleh itu kedatangan semula Inggeris ke Tanah Melayu pada September 1945 dengan idea untuk melaksanakan Malayan Union mendapat tentangan hebat dari seluruh rakyat hinggalah kepada pemimpin temasuk pihak istana. Penentangan terhadap Malayan Union yang diperkenalkan pada 1 April 1946 bertambah hebat dengan lahirnya UMNO pada 11 Mei 1946 di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar.

Akhirnya Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Bagaimanapun, darurat diisytiharkan pada Jun 1948 angkara keganasan komunis menyebabkan keadaan menjadi tegang.

Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn Jaafar kepada Tunku Abdul Rahman Putra pada 23 Ogos 1951 turut membawa perubahan slogan dari ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’. Perjuangan menuntut kemerdekaan menjadi semakin teguh dengan adanya permuafakatan melalui PERIKATAN antara orang Melayu, Cina dan India  di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Di samping itu, paduan tenaga setiap golongan masyarakat, dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti kalangan guru, wartawan, penulis, ahli ahli politik hatta pihak istana, membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.

Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan demi desakan oleh para pejuang, maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan rundingan dengan pihak Inggeris. Rundingan yang diadakan telah diakhiri dengan termetrainya Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956.

Kepulangan rombongan merdeka disambut meriah di Melaka dan Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan bahawa Tanah melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Selepas merdeka, satu demi satu peristiwa penting berlaku dalam lipatan sejarah negara. Pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura diisytiharkan. Bagaimanapun, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Sesungguhnya, liku liku perjuangan ke arah kemerdekaan, melalui ranjau yang penuh berduri dan dalam tempoh yang amat panjang. Pengorbanan para pejuang yang tidak pernah menyerah kalah ini perlu dijadikan wadah kepada kita semua untuk menuju matlamat pembinaan 1Malaysia yang lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.

Merdekanya negara kita

Tepat jam 12.00 tengah malam tanggal 31 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor telah tercatat satu peristiwa penting dalam sejarah negara. Bermula dari detik inilah, Persekutuan Tanah Melayu muncul sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Pada malam tersebut bendera Union Jack yang menjadi simbol penjajahan Inggeris telah diturunkan dengan iringan lagu 'God Saves The Queen' dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan diiringi lagu kebangsaan 'Negaraku'. Encik Tahir Abdul Majid telah dipilih untuk melaksanakan upacara penuh bersejarah ini.

Setelah bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar megah, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali bersama sama rakyat jelata. Diikuti tabik hormat kepada Tunku oleh satu barisan kawalan keselamatan terdiri daripada 300 pemuda Perikatan. Kemudiannya, Ketua Pemuda UMNO, Encik Sardon Bin Jubir menghadiahkan kalungan bunga kepada Tunku Abdul Rahman Putra. Serentak itu, kedengaran laungan 'Bapa Merdeka' yang ditujukan khusus kepada Tunku.

Kemerdekaan negara secara rasmi telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pengisytiharan ini telah dibacakan di hadapan Raja raja Melayu dengan disaksikan oleh 20 000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan 26 perwakilan asing beserta 21 tetamu khas yang dijemput. Tunku kemudiannya mengangkat tangan dan dengan penuh semngat melaungkan 'Merdeka' sebanyak 7 kali. Laungan Tunku disambut oleh para hadirin dengan pekikan gemuruh yang menggegarkan suasana stadium. Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh sepasukan anggota dari Angkatan Tentera Laut dengan diiringi lagu kebangsaan 'Negaraku' dan diikuti bedilan meriam sebanyak 101 das. Seterusnya seruan azan dilaungkan sebagai tanda kesyukuran lahirnya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Bagi mengisi tuntutan sebuah negara merdeka, upacara mengangkat sumpah jawatan dilansungkan di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 11.00 pagi hari yang sama. Upacara didahului oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri, Hakim Besar dan Jemaah Menteri. Seterusnya diikuti dengan istiadat perlantikan Gabenor Pertama Pulau Pinang, Raja Sir Tun Uda bin Raja Muhammad dan Gabenor Melaka, Encik Leong Yew Koh.



Di samping itu, penonjolan identiti sesebuah negara merdeka turut diberi perhatian. Melalui inisiatif Tunku Abdul Rahman Putra, lagu kebangsaan 'Negaraku' telah dicipta dan diperdengarkan buat pertama kalinya semasa upacara menaikkan bendera kebangsaan di Padang Kelab Selangor pada malam 30 Ogos 1957. Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dicipta dan dikibarkan pada tahun 1950 telah diterima pakai sebagai bendera rasmi


Bendera Persekutuan Tanah Melayu berukuran 6' x 3' ini telah direka cipta oleh Mohamed bin Hamzah dalam satu pertandingan yang dianjurkan pada tahun 1949. Daripada 373 penyertaan yang diterima, corak bendera ini telah dipilih oleh Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Chief Secretary, Sir Alex Newboult. Bendera ini buat pertama kalinya telah dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur pada 26 Mei 1950. Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bendera ini telah dijadikan bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu.


Pelbagai acara diadakan sepanjang bulan sama ada di Kuala Lumpur mahupun di negeri negeri di seluruh negara sempena dengan sambutan kemerdekaan ini. Antaranya, perbarisan meraikan kemerdekaan dan penghormatan kepada SPB Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Upacara ini diadakan di depan bangunan Federal Secretariat, Kuala Lumpur. Selain itu, diadakan juga, Majlis Jamuan Makan Tengahari di Residensi bagi mengucapkan selamat pulang kepada Pesuruhjaya Tinggi British Sir Donald Mac Gillivray, Majlis Jamuan Negara, pertunjukan bunga api, pertunjukan Aneka Warna Merdeka, Dondang Sayang Merdeka, Pusparagam Kanak Kanak, pertunjukan di atas pentas terapung di Tasik Kebun Bunga dan juga acara sukan untuk rakyat.

Tidak ketinggalan rakyat tempatan di luar negara juga turut mengadakan pelbagai acara bagi meraakan kemerdekaan negara. Sambutan telah diadakan di beberapa buah negara iaitu Indonesia, Filipina, Burma, Jepun, Arab Saudi, Australia, Amerika Syarikat, Russia dan United Kingdom.

Monday, 25 July 2011

Detik Bersejarah,,, MERDEKA!!!

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat dan hari paling bersejarah bagi negara kita Malaysia. Pada tarikh inilah kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra tepat jam 12.00 tgh malam di Padang Kelab Selangor dan tepat jam 9.30 pagi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Setelah merdeka diisytiharkan, upacara bagi pengisian kemerdekaan diadakan dengan pelantikan Ketua Negara, Perdana Menteri, Hakim Besar, ahli ahli Jemaah Menteri dan Gebenor bagi negeri Pulau Pinang dan Melaka. Pada masa yang sama, lagu kebangsaan 'Negaraku' dan bendera kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu diterima pakai sebagai identiti negara yang baru merdeka. Di samping itu, pelbagai acara diadakan bersempena detik bersejarah ini sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan rakyat menyambut kelahiran sesebuah negara merdeka dan berdaulat.

Rentetan yang membawa kepada detik bersejarah ini bermula dengan perjuangan, pengorbanan, penderitaan, penentangan dan akhirnya perundingan. Walaupun kemerdekaan negara dicapai melalui meja rundingan, pengorbanan para pejuang dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan mencapai kemerdekaan tetap terpahat dalam lipatan sejarah. Tanpa pengorbanan para pejuang, merdeka hanya tinggal sebagai ungkapan semata mata. Oleh itu amat wajar bagi seluruh rakyat negara ini untuk memahami dan menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan dan mengenali para pejuang ini.


Perayaan dan sambutan di atas kelahiran semula sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dinamakan Persekutuan Tanah Melayu sejak 1957 sehingga kini menjadi acara tetap yang penuh bersejarah.Pelbagai acara sambutan dirancang dan disusun rapi bagi menggambarkan suasana sambutan yang penuh bersejarah lagi meriah. Sewajarnya, detik bersejarah ini disambut dengan penuh makna bagi melahirkan kesyukuran dan kegembiraan di atas kejayaan perjuangan yang begitu panjang.