Wednesday 29 June 2011

Harta Pusaka bagi orang yang hilang

Al -Mafqud meliputi permasalahan dalam perwarisan harta pusaka iaitu perihal orang hilang.Permasalahan ini memberi impak kepada proses pentadbiran harta pusaka secara umum dan telah dibincangkan dalam undang undang pusaka Islam secara terpeinci.

Masyarakat didedahkan mengenai kehilangan orang tersayang berikutan faktor kekeluargaan atau faktor umum lain. Ada kes hilang rentetan lari dari rumah, kes penceraian, poligami seterusnya meninggalkan isteri dan anak anak tanpa sebarang berita.

Ada juga kes melibatkan perjalanan jauh yang tidak dapat dipastikan mengenai keselamatan orang tersayang. Selamat atau menerima kecelakaan di tengah jalan. Sebagai contoh, bagi mereka yang keluar mencari rezeki terutama di laut dalam, luar negeri dan sebagainya. Boleh jadi mereka hilang dalam perjalanan atau menghadapi kesukaran untuk pulang ke tanah air.

Dalam undang undang pusaka Islam, orang yang hilang atau ghaib tanpa kita ketahui sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia di sebut sebagai Mafqud. Mafqud berasal dari perkataan Arab, bermaksud 'hilang'.

Dalam kitab Al-Fiqhul Manhaji, karangan Dr. Mustaffa al-Khan, Dr Mustafa al-Bugha dan Ali al-Syarbaji, jilid kedua, cetakan keenam 1426H/2005, Percetakan Darul Qalam, Damsyek, Syria, muka surat 331, ada menyebut mengenai maksud orang yang hilang iaitu 'orang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak ada orang yang mengetahui mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Bagi rujukan kedua pula, melalui kitab Al-Fiqhul Islaamiy wa Adillatuhu, karangan Dr Wahbah al-Zuhailiy, juzuk yang kelima, cetakan kedua, tahun 1405H/1985, percetakan Darul Fikri, Damsyek, Syria, muka surat 784, al-Mafqud didefinisikan sebagai 'seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama hingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Setelah kita ketahui siapakah yang tergolong dalam kategori al-Mafqud ini, perbincangan seterusnya adalah berkaitan hukum berkenaan al-Mafqud ini.

Para fuqaha telah menetapkan bahawa isteri orang mafqud ini tidak boleh dinikahi, hartanya tidak boleh di wariskan dan di apa apakan sehingga golongan ini di ketahui secara jelas, sama ada masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Dalam kitab Al-Fiqhul Manhaji juga ada membincangkan bahawa 'harta Al-Mafqud orang yang hilang, tidak boleh di bahagikan melainkan setelah disahkan kematiannya.'

Menurut kitab Al-fiqhul Manhaji,'harta al-mafqud, orang yang hilang, tidak boleh di bahagikan, melainkan setelah di sahkan kematiannya atau berlangsung tempoh sememangnya diketahui atau pada kebiasaannya orang yang hilang tidak akan hidup dalam tempoh yang berkenaan. Tempoh ini tidak di tentukan mengikut jarak masa tertentu tetapi mengikut ijtihad hakim yang memutuskan kematiannya.

Sebelum pengesahan hakim sedemikian, sebarang pengurusan ke atas hartanya adalah tidak sah dilakukan kerana asasnya dia di anggap hidup. Hartanya juga tidak boleh diwarisi melainkan ada asas yang meyakinkan.

Telah kita ketahui siapakan mafqud dan apa hukum berkaitan. Persoalannya adakah harta mereka ini tidak boleh ditadbir seterusnya dibahagi kepada yang hak? Dalam perwarisan harta pusaka, Islam amat menggalakkan bagi umatnya berwasiat. Ini membuktikan bahawa Islam menyeru perkara berkaitan pentadbiran harta pusaka bagi mengelak berlaku penganiyaan kepada waris yang ditinggalkan. Selaras galakkan ini, dalam isu berhubung kait dengan mafqud, undang undang Islam telah menetapkan bagaimana syarat memastikan kedudukan sebenar bagi al-Mafqud ini.

Dalam kitab Al-Fiqhul Islaamiy wa Adillatuhu, ada menyebut bahawa persoalan mengenai bilakah orang yang hilang dihukum meninggal dunia dan apakah kesannya? Jika berlalu masa yang lama dari tarikh lahir seseorang yang hilang, sekadar kadarnya tidak mungkin ada orang yang sebayanya boleh hidup lagi, secara yakin atau mengikut kebiasaan, maka orang yang hilang itu dikira sudah meninggal dunia.

Ulama dari 4 mazhab mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini. Mazhab Syafie menyatakan bahawa tempoh orang hilang adalah 90 tahun. Walau bagaimanapun, pendapat sahih menurut Imam Syafie ialah batas waktu itu tidak dapat di pastikan dan mencukupi dengan keputusan yang dibuat oleh hakim bahawa seseorang mafqud itu sebagai seorang yang telah meninggal dunia.

Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa orang yang hilang boleh diputuskan telah mati selepas membuat penelitian bahawa orang yang seusianya di kawasan tempat asalnya telah meninggal dunia.

Berbeza dengan mazhab Maliki berpendapat bahawa batas waktu bagi menentukan mafqud telah meninggal dunia adalah 70 tahun. Hal ini berlandaskan hadis Rasulullah SAW bahawa umur umat Nabi Muhammad ialah di antara 60 hingga 70 tahun.

Sementara itu, mazhab Hambali berpendapat bahawa batas waktu bagi memastikan orang mafqud ini telah meninggal dunia ialah selama 4 tahun sahaja.

Oleh yang demikian, kuasa bagi menentukan dan memutuskan bahawa mafqud itu masih hidup atau pun telah meniggal dunia adalah mahkamah dengan berpandukan kepada bukti, penyiasatan atau telah tamat tempoh menunggu seperti yang telah ditentukan oleh fuqaha.

Apabila mahkamah memutuskan bahawa seseorang mafqud itu telah meninggal dunia maka kematiannya dianggap berlaku pada masa dikeluarkan keputusan mahkamah tersebut. Justeru, ahli waris yang ada ketika keputusan mahkamah dikeluarkan adalah waris yang berhak mewarisi hartanya.

PETIKAN AL QURAN

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan ( suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat"
Surah An-Nisa;ayat 58

No comments:

Post a Comment