Tuesday 2 August 2011

sejarah kesultanan melayu melaka

Parameswara, adalah putera dari Palembang, telah membuka Negeri Melaka. Beliau berketurunan raja raja  Sailendra yang pernah memerintah Kerajaan Srivijaya. Pada tahun 1377, Kerajaan Srivijaya telah ditawan oleh Kerajaan Majapahit. Pulau Jawa dan Sumatra tunduk kepada kuasa Kerajaan Majapahit. Pada waktu itu, Parameswara telah berkahwin dengan seorang puteri raja dari Jawa Timur. Namun demikian, Parameswara enggan tunduk di bawah kuasa Kerajaan Majapahit. Beliau mengisytiharkan kemerdekaan secara tersendiri. Ini menimbulkan kemarahan kepada Kerajaan Majapahit. Tentera tentera Majapahit menyerang Palembang dan Parameswara terpaksa melarikan diri ke Temasik (Singapura). Pada waktu itu, Temasik berada di bawah kuasa Raja Siam dan raja yang memerintah Temasik adalah Raja Temagi. Parameswara telah membunuh Raja Temagi dan mengambil alih pemerintahan Temasik selama 5 tahun. Kematian Raja Temagi telah menimbulkan kemarahan Kerajaan Ayuthya di Siam. Siam mengutuskan bala tenteranya untuk menyerang Parameswara. Parameswara telah melarikan diri ke Muar dan menetap di situ selama enam tahun. Parameswara berpindah ke sungai Bertam, Melaka setelah mendapati muar tidak sesuai untuk membina petempatan yang baru.
Sejarah Melayu meriwayatkan Parameswara telah membuka Negeri Melaka pada tahun 1400 dan nama Melaka itu diambil daripada nama sejenis pokok. Parameswara dan pengikut pengikutnya sedang berehat dibawah sebatang pokok selepas berburu. Beliau melihat anjingnya ditendang oleh seekor kancil hingga terjatuh ke dalam sungai. Parameswara menganggap peristiwa itu merupakan sesuatu yang ganjil lalu memilih tempat itu untuk dijadikan kerajaan yang baru. Baginda menamakan tempat itu sebagai Melaka bersempena dengan nama pokok tempat baginda bersandar dan berehat. Parameswara mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka dengan gelaran Raja Iskandar Shah. Beliau melaksanakan pemerintahan negeri baru ini berasaskan system pemerintahan Kerajaan Srivijaya. Bermula dengan peristiwa tersebut, Melaka muncul sebagai sebuah pelabuhan dan pusat persinggahan pedagang pedagang China, India dan Arab. Di sinilah bermulanya Kesultanan Melayu Melaka dan keagungan Empayar Melaka.

No comments:

Post a Comment