Monday 25 July 2011

Detik Bersejarah,,, MERDEKA!!!

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat dan hari paling bersejarah bagi negara kita Malaysia. Pada tarikh inilah kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra tepat jam 12.00 tgh malam di Padang Kelab Selangor dan tepat jam 9.30 pagi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Setelah merdeka diisytiharkan, upacara bagi pengisian kemerdekaan diadakan dengan pelantikan Ketua Negara, Perdana Menteri, Hakim Besar, ahli ahli Jemaah Menteri dan Gebenor bagi negeri Pulau Pinang dan Melaka. Pada masa yang sama, lagu kebangsaan 'Negaraku' dan bendera kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu diterima pakai sebagai identiti negara yang baru merdeka. Di samping itu, pelbagai acara diadakan bersempena detik bersejarah ini sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan rakyat menyambut kelahiran sesebuah negara merdeka dan berdaulat.

Rentetan yang membawa kepada detik bersejarah ini bermula dengan perjuangan, pengorbanan, penderitaan, penentangan dan akhirnya perundingan. Walaupun kemerdekaan negara dicapai melalui meja rundingan, pengorbanan para pejuang dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan mencapai kemerdekaan tetap terpahat dalam lipatan sejarah. Tanpa pengorbanan para pejuang, merdeka hanya tinggal sebagai ungkapan semata mata. Oleh itu amat wajar bagi seluruh rakyat negara ini untuk memahami dan menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan dan mengenali para pejuang ini.


Perayaan dan sambutan di atas kelahiran semula sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dinamakan Persekutuan Tanah Melayu sejak 1957 sehingga kini menjadi acara tetap yang penuh bersejarah.Pelbagai acara sambutan dirancang dan disusun rapi bagi menggambarkan suasana sambutan yang penuh bersejarah lagi meriah. Sewajarnya, detik bersejarah ini disambut dengan penuh makna bagi melahirkan kesyukuran dan kegembiraan di atas kejayaan perjuangan yang begitu panjang.

No comments:

Post a Comment