Tuesday 26 July 2011

Mengorak kemerdekaan negara

Sejarah perjuangan kemerdekaan negara bermula dari saat kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Selepas kekalahan Portugis kepada Belanda pada tahun 1641, sejarah perjuangan menentang penjajah menyaksikan penentangan yang dilakukan oleh pemerintah dan rakyat seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada zaman ini juga, lahir tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 sehingga beliau terbunuh di Teluk Ketapang. Dalam tempoh sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu di awal 1780an, tidak banyak sumber yang mengisahkan tentang kebangkitan perjuangan menentang Belanda di negara ini.

Kehadiran British dan campur tangan mereka dalam pentadbiran tempatan telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan untuk membebaskan tanah air daripada kuasa asing. Gerakan penentangan ini berlaku bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu malahan Sabah dan Sarawak. Gerakan menentang Inggeris telah melahirkan tokoh tokoh pejuang tempatan seperti Penghulu Dol Said dan Yamtuan Tunku Antah di Negeri Sembilan, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah dari Perak, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdullah Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak, Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.

Walaupun terdapat sedikit kejayaan di peringkay awal tetapi semua gerakan penentangan tersebut berakhir dengan kegagalan. Namun, semangat juang tetap diteruskan kerana penduduk pribumi tidak mudah menyerahkan tanah air mereka kepada kuasa asing.

Setelah melalui perjuangan ang panjang tanpa kekuatan senjata yang mencukupi maka perjuangan diterusakan melalui penulisan. Dengan itu, pelbagai akhbar dan majalah diterbitkan seperti Al-Iman, Neraca, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain lain. Antara tokoh yang terlibat dalam perjuangan melalui mata pena adalah seperti Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Zainal Abidin Ahmad(Za’aba) dan Abdul Rahim Kajai.

Pendudukan Jepun pada tahun 1942 sehingga 1945 telah menimbulkan pelbagai kesan yang mendalam kepada penduduk Tanah Melayu. Banyak perubahan berlaku sama ada dari segi psikologi, social mahupun politik yang menyebabkan penduduk Tanah Melayu lebih peka terhadap perkembangan di sekeliling mereka.

Oleh itu kedatangan semula Inggeris ke Tanah Melayu pada September 1945 dengan idea untuk melaksanakan Malayan Union mendapat tentangan hebat dari seluruh rakyat hinggalah kepada pemimpin temasuk pihak istana. Penentangan terhadap Malayan Union yang diperkenalkan pada 1 April 1946 bertambah hebat dengan lahirnya UMNO pada 11 Mei 1946 di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar.

Akhirnya Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Bagaimanapun, darurat diisytiharkan pada Jun 1948 angkara keganasan komunis menyebabkan keadaan menjadi tegang.

Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn Jaafar kepada Tunku Abdul Rahman Putra pada 23 Ogos 1951 turut membawa perubahan slogan dari ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’. Perjuangan menuntut kemerdekaan menjadi semakin teguh dengan adanya permuafakatan melalui PERIKATAN antara orang Melayu, Cina dan India  di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Di samping itu, paduan tenaga setiap golongan masyarakat, dalam ruang lingkup yang tersendiri seperti kalangan guru, wartawan, penulis, ahli ahli politik hatta pihak istana, membakar semangat dan memperteguhkan lagi tekad untuk segera untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara ini.

Berbekalkan perpaduan suara rakyat dan desakan demi desakan oleh para pejuang, maka pada awal tahun 1956, rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berangkat ke London bagi mengadakan rundingan dengan pihak Inggeris. Rundingan yang diadakan telah diakhiri dengan termetrainya Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956.

Kepulangan rombongan merdeka disambut meriah di Melaka dan Padang Banda Hilir, Melaka menjadi saksi pada 20 Februari 1956 apabila Tunku mengisytiharkan bahawa Tanah melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Selepas merdeka, satu demi satu peristiwa penting berlaku dalam lipatan sejarah negara. Pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura diisytiharkan. Bagaimanapun, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Sesungguhnya, liku liku perjuangan ke arah kemerdekaan, melalui ranjau yang penuh berduri dan dalam tempoh yang amat panjang. Pengorbanan para pejuang yang tidak pernah menyerah kalah ini perlu dijadikan wadah kepada kita semua untuk menuju matlamat pembinaan 1Malaysia yang lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.

No comments:

Post a Comment