Tuesday 26 July 2011

Malaysia, sedekad berdiri teguh...

Tempoh 10 tahun pertama negara mencapai kemerdekaan merupakan tahun tahun yang begitu mencabar. Sebagai sebuah negara yang baru mengecapi nikmat merdeka, banyak yang perlu dilakukan terutama dalam menentukan halatuju dan masa depan negara. Tunku menegaskam:
“Kita ingin membina satu negara yang boleh dibanggakan iaitu satu negara di mana dapat kita tinggal bersama sama kemakmuran, ketenteraman dan kebahgiaan serta menumpukan taat setia kepadanya; pendek kata menempa negara Malaysia yang terdiri dari berbagai bagai kaum dan puak dan ini akan menjadi contoh dunia”.-Tunku Abdul Rahman Putra-31 Ogos 1962

Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah hasil daripada perjuangan yang telah menagih banyak pengorbanan sejak beratus tahun dahulu iaitu sejak kuasa kuasa penjajah menjejakkan kaki di bumi tercinta ini. Wajarlah kemerdekaan yang diperolehi ini dihargai oleh seluruh rakyat negara ini.

Bagi negara yang sebegini muda, Malaysia tetap teguh berdiri sam tinggi dengan jiran jiran lain yang terlebih dahulu mengecapi nikmat merdeka. Kemeriahan sambutan merdeka sepanjang 10 tahun pertama ini ditonjolkan dengan acara acara yang diadakan setiap tahun.

Persidangan parlimen pertama kali pada tahun 1959 telah menyemarakkan lagi suasana dalam negara apabila wakil wakil di Parlimen adalah yang dipilih oleh rakyat dalam negara yang Merdeka tanpa aturan penjajah, menjadikan sambutan merdeka pada tahun tahun awal ini begitu bermakna.

Di sebalik kemeriahan sambutan yang diadakan terdapat juga pelbagai pengalaman suka duka antaranya ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ketiga, negara dikejutkan dengan kemangkatan SPB Yang di-Pertuan Agong Tuanku Hisamuddin Alam Shah Al Haj ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah pada 1 September 1960. Di samping itu negara juga dilanda musim kemarau yang melibatkan negeri Kedah, Selangor, Kelantan dan Melaka. Kemeriahan sambutan kemerdekaan turut tergugat dengan peristiwa peristiwa yang tidak diduga seperti penangguhan tarikh pengisytihran Malaysia, darurat, konfrantasi serta pemisahan Singapura. Kegembiraan pula tergambar apabila penyertaan beberapa negara luar untuk turut serta mengambil bahagian dalam Pesta Bola Merdeka, yang secara tidak langsung menunjukkan kepercayaan mareka terhadap sebuah negara yang baru merdeka.

Negara Berjaya menghadapi saat saat genting konfrantasi yang dilancarkan oleh Indonesia dan protes dari Filipina sebaik sahaja negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Sambutan merdeka pada tahun 1964 agak suram kerana negara perlu berjimat cermat bagi menghadapi konfrantasi, namun begitu sambutan perayaan tetap diteruskan. Dalam perutusan hari kemerdekaan pada tahun tersebut, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan:
“Marilah kita membuat azam bahawa apa juga yang akan terjadi, kita akan mempertahankan negara kita dengan nyawa kita sendiri”.-Tunku Abdul Rahman Putra-31 Ogos 1964

Pada tahun berikutnya, Singapura telah bertindak keluar dari Malaysia. Pemisahan yang berlaku pada 9 Ogos 1956 tidak menjejaskan acara sambutan merdeka pada tahun berkenaan kerana negara turut meraikan beberapa mercu tanda penting sempena perayaan kemerdekaan pada tahun berkenaan. Antaranya perasmian Masjid Negara pada 27 Ogos 1965 yang menjadi lambing Islam sebagai agama rasmi negara dan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di Subang pada 30 Ogos 1965.

Kemeriahan sambutan dirasai menjelang sambutan kemerdekaan tahun 1966 apabila Indonesia menjalin semula ikatan saudara serumpun dengan memeterai Perjanjian Perdamaian dengan Malaysia pada 11 Ogos 1966. Rakyat kedua dua negara menyambut baik perdamaian ini dan sambutan kemerdekaan tahun itu turut disambut meriah sebagai meraikan pemulihan hubungan tersebut.

Pada tahun 1967, sambutan ke-10 tahun kemerdekaan negara amat bermakna buat Malaysia. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra semasa mempengerusikan mesyuarat pertama sambutan 10Tahun Merdeka mahukan acara ini diadakan secara besar besaran sebagai member penghargaan kepada rakyat di atas segala usaha yang telah dibuat bersama sejak kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.
...YTM Tunku Perdana Menteri telah membuka mesyuarat dengan menyatakan ia-itu pada 31hb. Ogos 1967, ini genaplah sapuloh tahun Negara ini Merdeka. Oleh yang demikian, untuk mengingatkan tarikh itu patut-lah di-adakan suatu perayaan sa-chara besar2an dengan mengadakan suatu Pesta yang lebeh riang dan meriah lagi daripada apa yang telah di-perbuat pada tahun 1956. Sungguh pun kedudukan kewangan Negara pada masa ini tiada sa-bagitu baik tetapi perbelanjaan bagi mengadakan perayaan ini ada faedah-nya kerana dengan adanya perayaan itu dapat-lah kita menyenangkan fikiran raa’yat jelata supaya mereka dapat tinggal dalam tenang dan aman. Sekita-nya tiada keamanan di-dalam negeri sudah tentu kerajaan akan mengeluarkan belanja yang lebeh besar lagi... Tambahan pula pada masa ini kita sudah menjadi Malaysia, maka segala pertunjukan dan perayaan itu mesti-lah dengan fikiran sa-chara Malaysia dan tidak lagi di-perbuat oleh dan bagi tiap2 bangsa...-Petikan minit mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra semasa mesyuarat pertama Sambutan 10 Tahun Merdeka pada 28 Mac 1967.

“Kita harus menunjukkan betapa girangnya hati kita dengan kejayaan-kejayaan yang diberi oleh Tuhan. Tujuan perayaan ini ialah untuk menunjukkan perasaan girang kita”.-Tunku Abdul Rahman Putra- 31 Ogos 1970

Pelbagai acara menarik telah diatur sempena perayaan Ulang Tahun Kemerdekaan negara ke-10 kerana Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman berhasrat menjadikannya sebagai satu sejarah kenang kenangan yang akan diingati serta mahukan rakyat memahami apakah yang dikatakan kemerdekaan dan faedah mempunyai sebuah negara sendiri yang berdaulat.

Antara pencapaian yang menjadi kebanggaan pemimpin dan rakyat di sepanjang perjalanan sepuluh tahun kemerdekaan negara ialah pembangunan infrastuktur negara sama ada di bandar atau luar bandar. Pada 6  Mei 1962, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan Buku Merah yang menjadi asas dalam menggerakkan pembangunan negara.

Kerajaan juga telah mencapai kejayaan yang besar dalam mengekalkan keamanan negara melalui penentangan habis habisan terhadap keganasan komunis, hasilnya pada tahun 1960 darurat ditamatkan.

No comments:

Post a Comment