Tuesday 26 July 2011

Sambutan kemerdekaan Jubli Perak

Memasuki era kedua dari tahun 1968 sehingga 1982. Negara diuji dengan beberapa peristiwa yang agak mengejutkan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Namun begitu perayaan kemerdekaan tetap disambut meriah mengikut keadaan semasa negara ketika itu. Pengalaman ini juga banyak mengajar rakyat dan pemimpin kita dalam menangani isu isu penting dalam sesebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai latar keturunan, agama, budaya, ekonomi dan social. Jika dalam fasa 10 tahun pertama, tumpuan adalah kepada pembentukan satu negara bangsa yang harmoni tanpa mengabaikan pembangunan dan kemajuan fizikal negara, maka dalam fasa kedua ini keutamaan telah diberikan terhadap menggerakkan hubungan dan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Acara acara sambutan kemerdekaan yang dirancang juga banyak menyentuh tentang perpaduan dan hubungan antara kaum. Memulakan era selepas dekad pertama iaitu pada tahun 1969, negara telah dicemari dengan peristiwa pahit yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia iaitu tragedi 13 Mei 1969. Parlimen telah digantung dan pentadbiran negara diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN. Sambutan kemerdekaan pada tahun tersebut diadakan dengan penuh berhati hati dengan harapan sambutan hari merdeka dapat menjadi penghubung antara semua kaum. Acara acara tetap berjalan lancar walaupun suasana agak suram. Para pemimpin berusaha keras memulihkan hubungan yang telah retak itu. Acara acara disiar sebagai program hari merdeka di televisyen dan radio.

Kejayaan diperingkat antarabangsa juga mula dirasai apabila Malaysia menjadi salah sebuah negara penaja penubuhan Association of Southeast Asia(ASA) pada tahun 1961 dan MAPHILINDO pada tahun 1963. Namun akibat daripada kurang sambutan dan konfrantasi yang berlaku dalam negara, kedua dua pertubuhan ini gagal dan akhirnya pada 8 Ogos 1967, Association of South East Nations atau ASEAN telah ditubuhkan. Malaysia juga turut menyumbang kepada Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) dengan menghantar Pasukan Khas Tentera Persekutuan Tanah Melayu pada 4 Oktober 1969. Pasukan seramai 613 anggota diketuai oleh Lt. Kolonel Ungku Nasaruddin bin Ungku Muhamad telah berangkat ke Congo bagi menyertai pasukan badan dunia itu. Walaupun negara ketika itu baru saja mencapai kemerdekaan tetapi sumbangan terhadap masyarakat antarabangsa tetap diberi keutamaan.
Tahun berikutnya 1970, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, mengambil keputusan untuk bersara daripada jawatan tersebut iaitu dua hari sebelum perayaan hari kemerdekaan negara. Rakyat menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Dalam ucapannya, Tunku Abdul Rahman Putra turut mengumumkan bahawa sambutan hari kemerdekaan akan dikenali sebagai ‘Hari Kebangsaan’. Rukun Negara juga diperkenalkan pada tahun tersebut dan pertama kali dilafazkan pada sambutan Hari Kebangsaan tahun 1970.

Pada 21 September 1970, Tun Abdul Razak telah mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Di bawah kepimpinan baru, Tun Abdul Razak mula memberikan tumpuan kepada pembangunan negara dan masyarakat terutama di luar bandar. Pada perutusan kemerdekaan yang pertama selepas menjawat jawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak menyeru kepada setiap rakyat;
“Marilah kita berusaha sa-daya upaya memupok semula segala bakat yang terdapat di negara kita ini, dalam apa jua lapangan- sama ada bidang politik atau ekonomi, bidang kebudayaan atau olahraga- supaya dapat mara bersama2 menchapai hasrat dan chita2 yang lebeh tinggi”.-Tun Abdul Razak Hussai-31 Ogos 1971

Rancangan rancangan pembangunan menjadi agenda utama agar negara dapat terus mencapai taraf ekonomi dan social yang baik.Hasrat ini diterjemahkan dalam setiap sambutan hari kebangsaan sepanjang tempoh Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri,(1970-1976). Beliau telah memulakan Dasar Ekonomi Baru, memperkenalkan Rancangan Buku Hijau, membawa idea idea baru dalam menggerakkan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar, serta mengadakan kempen dan penerangan kepada rakyat tentang program pembangunan negara agar rakyat daripada setiap lapisan masyarakat dapat turut serta dalam rancangan kerajaan.
Beberapa badan kerajaan ditubuhkan sepanjang tempoh Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Bank Bumiputera, Petroleum Nasional(Petronas), Perbadanan Pembangunan Bandar(UDA) dan beberapa badan lagi. Pada setiap sambutan Hari Kebangsaan agensi agensi kerajaan ini akan turut mengambil bahagian dan ianya bertujuan untuk menyedar dan memaklumkan kepada rakyat tentang kewujudan serta peranan mereka dalam membantu masyarakat di seluruh negara. Dalam bidang pendidikan pula Dasar Pelajar Kebangsaan dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan.

Tema perpaduan menjadi agenda utama kerajaan dalam kebanyakkan sambutan hari kebangsaan sepanjang tahun 1970-an. Rukun Negara terus menjadi teras dan sentiasa diungkapkan dalam setiap sambutan kemerdekaan. Selain memberikan penekanan terhadap acara acara yang berkaitan dengan perpaduan dan pembangunan, acara acara kebudayaan dijadikan sebagai acara yang dapat mengeratkan hubungan  antara kaum. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-20, Perdana Menteri, Dato’ Hussein Onn menyeru agar disuburkan persefahaman perpaduan di sanubari generasi muda.
“Dengan mengetahui dan benar-benar memahami sejarah perjuangan kemerdekaan serta semangat toleransi, tolak-ansur dan muhibbah yang sentiasa diamalkan oleh gulungan yang terdahulu dari mereka barulah dapat kita membangkitkan kesedaran dikalangan jenerasi muda ini supaya mereka menjunjung tinggi kemajuan dan kejayaan yang telah diperolehi”.-Dato’ Hussein Onn-31 Ogos 1977
Dalam tempoh 25 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita telah 3 kali melalui sambutan hari kebangsaan dalam bulan Ramadhan. Pada tahun 1976, 1977 dan 1978 perayaan Hari Kebangsaan telah disambut dalam suasana agak istimewa kerana pada ketika itu sambutannya jatuh dalam bulan Ramadhan, namun kemeriahan tetap dirasakan, perarakan dan beberapa acara penting tetap dijalankan dengan berpatutan bagi menghormati bulan mulia ini serta keprihatinan terhadap peserta peserta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan. Kebanyakkan acara sambutan lebih ditumpukan pada waktu siang sahaja dan malamnya diisi dengan acara acara yang bercorak keagamaan bersesuaian dengan bulan puasa.
Era 1980-an, memperlihatkan Malaysia sudah mula berganjak kepada corak ekonomi dan penglibatan di peringkat antarabangsa yang lebih aktif. Negara juga mengalami perubahan pucuk pimpinan apabila tampuk pemerintahan beralih daripada Perdana Menteri, Dato’ Hussein Onn kepada Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad pada 16 Julai 1981. Beberapa perubahan dasar dan pemerintahan telah dilakukan bagi menyesuaikan Malaysia dengan keadaan dunia. Ini dapat dilihat daripada perubahan tema dan logo yang digunakan dalam setiap tahun serta penglibatan peserta peserta dari sector swasta dan awam. Tema dan logo yang dibawa lebih mencerminkan pembentukan jati diri bangsa Malaysia dalam sebuah negara yang memandang masa depan dengan penuh yakin dan berwawasan.
Pada tahun 1982, usia kemerdekaan negara telah mencecah suku abad. Dalam tempoh 25 tahun ini Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara yang makmur dan bersatu padu. Sungguhpun begitu,dalam jangka masa tersebut pelbagai rintangan terpaksa dilalui untuk membolehkan negara sampai ke tahap yang dibanggakan.
“Kemerdekaan adalah satu nikmat istimewa dan setiap rakyat bertanggungjawab memelihara dan mengekalkan kemerdekaan dengan cara melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kecekapan serta mengekalkan ketahanan negara”.-Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad-31 Ogos 1982
Permulaan era 1980-an juga memperlihatkan bagaimana sambutan Hari Kebangsaan peringkat nasional mula mengambil tempat di beberapa negeri dalam Malaysia, bertujuan untuk member peluang kepada warga Malaysia di luar ibu kota merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
Pada era ini, kerajaan telah memberikan perhatian yang semakin serius kepada perubahan ekonomi negara dari sector pertanian kepada sektor perindustrian seiring dengan pembangunan sektor sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan yang member kesan besar kepada kesejahteraan rakyat negara in. Apalah ertinya merdeka tanpa pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat. Bagi memberikan pencetus kepada pembangunan negara, kerajaan telah menggalakkan pelaburan asing ke dalam negara. Syarikat syarikat gergasi luar negara dan para pelabur asing memandang Malaysia sebagai lokasi strategik bagi mereka mengembangkan operasi di rantau Asia Tenggara.

Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad mempunyai visi yang jelas terhadap matlamat negara terutama dalam bidang berteraskan teknologi dan perindustrian. Justeru, beliau telah memperkenalkan langkah langkah dan dasar dasar yang menyumbang ke arah itu, antaranya Dasar Pandang ke Timur, Dasar Penswastaan dan Dasar Pensyarikatan. Melalui dasar dasar ini, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka mula meneroka lembaran baru dengan mencontohi gergasi ekonomi Asia ketika itu, iaitu negara Jepun dari sudut disiplin dan teknologi yang dibangunkan, agar dapat diaplikasikan dalam pembangunan negara ini. Syarikat syarikat Jepun seperti Matsushita, Mitsubishi, Sanyo, dan sebagainya merupakan di antara syarikat syarikat yang telah bertapak di negara ini pada ketika itu. Hasil daripada kerjasama strategik dengan syarikat Mitsubishi, buat pertama kali negara ini mula mengeluarkan kereta nasional ‘Proton Saga’ yang turut diarak dengan bangganya pada sambutan Hari kebangsaan ke-28 di Padang Pahlawan, Melaka pada tahun 1985.

Memasuki ke era tahun 1990-an, Malaysia makin matang dan terus menongkah arus mendaki puncak kejayaan. Di era inilah dapat dilihat bagaimana cita cita negara dibentuk kea rah satu matlamat jangka masa panjang berdasarkan satu wawasan dikenali sebagai Wawasan 2020. Wawasan ini direncanakan oleh Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai satu gagasan untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Pada ketika ini ekonomi Malaysia cukup berdaya saing dan menjadi antara peneraju ekonomi di Asia Timur.
“Empat puluh tahun dahulu kita tidak menduga yang kita berkemampuan untuk maju dan menempuh kejayaan seperti sekarang. Apakah kita menduga yang kita boleh mengeluarkan kenderaan bermotor sendiri, memiliki satelit kita sendiri, mendiri bangunan berkembar tertinggi di dunia? Apakah kita menjangka seorang anak watan kita menyandang jawatan Presiden Agung Bangsa Bangsa Bersatu, rakyat Malaysia mendaki puncak Gunung Everest dan kita menjadi tuan rumah kepada sukan komanwel tahun hadapan? Tentulah tidak. Tetapi pada hari ini kita telah membuktikan bahawa kita juga mempunyai kemampuan untuk berjaya dalam berbagai-bagai bidang kalau kita betul-betul berusaha. Jelaslah dengan dasar-dasar yang baik, dengan rakyat yang sentiasa berusaha gigih dan kerjasama antara semua pihak diperingkat iaitu pekerja, Kerajaan dan swasta kita dapat mengisikan kemerdekaan secara bermakna”.-Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad-30 Ogos 1997

Di saat negara meraikan kemerdekaannya yang ke-40 pada tahun 1997, krisis ekonomi yang serius mula melanda rantau Asia. Banyak negara Asia yang tergugat oleh permasalahan ini sehingga membawa kepada perbalahan politik yang akhirnya menggugat keamanan rakyat secara keseluruhannya. Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias kegawatan ekonomi ini yang dikatakan berpunca daripada urusniaga matawang yang dimanipulasikan. Namun begitu, di atas kebijaksanaan pemimpin negara, masalah ini dapat diatasi dengan tenang mengikut acuan sendiri dan akhirnya Malaysia telah Berjaya secara beransur ansur keluar daripada kemelut ekonomi tanpa mengorbankan nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi sejak sekian lama. Mungkin inilah erti umur 40 tahun negara ini yang menampakkan kematangan kepimpinan bagi berhadapan dengan suatu dugaan yang mencabar.
Di areana antarabangsa, negara mula melangkah lebih jauh dalam berbagai bidang termasuklah sukan, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Litar Formula 1(F1) mula menjadi sebutan masyarakat antarabangsa apabila menganjurkan perlumbaan pertama pada 15 hingga 17 Oktober 1997. Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-42 kejayaan ini telah diraikan semasa perarakan hari kebangsaan tahun berkenaan. Begitu juga wira wira negara yang telah mengharumkan nama negara turut diraikan dalam hari kebangsaan pada tahun tersebut.
Pengakhiran era 1990-an menandakan berakhirnya abad ke-20 dan permulaan satu abad baru yang pasti membawa kepada cabaran dan dugaan yang berbeza kepada negara. Kemerdekaan yang dibawa merentasi alaf baru begitu mahal harganya bagi negara ini. Justeru generasi pewaris masa hadapan harus diberi kesedaran mengenai nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada mereka. Sambutan Seabad Malaysia ke Alaf Baru pada tahun 1999 menggambarkan betapa kerajaan begitu peka terhadap permulaan alaf baru dan pengisian yang perlu dibuat di  alaf ini bagi memperkukuhkan lagi kemakmuran yang telah dicapai oleh negara ini pada abad sebelumnya. Di dalam perutusannya yang dimuatkan di dalam buku program Majlis Pelancaran Rasmi Seabad Malaysia ke Alaf Baru, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan bahawa:
“Sejarah tanah air sepanjang 100 tahun lalu adalah penuh liku dengan segala kisah perjuangan suka duka mencari kemerdekaan dan pembangunan untuk rakyat jelata. Daripada negeri negeri Tanah Melayu yang terpisah dan terjajah, kini Malaysia terbentuk sebagai sebuah negara yang bersatu padu, cemerlang dan merdeka. Malaysia kini begitu maju dan rakyatnya hidup aman makmur sehingga bersedia untuk mengharungi cabaran cabaran baru di alaf akan datang”.-Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad-30 Ogos 1999.

Bermula pada tahun 2000, perayaan Hari Kebangsaan mula disambut selama sebulan dan dikenali dengan ‘Perayaan Bulan Kemerdekaan’ iaitu bermula 17 Ogos hingga 16 September setiap tahun. Acara sambutan dimulakan dengan pelancaran bulan kemerdekaan pada 17 Ogos dan kemuncak acara ialah di Ambang Merdeka pada tepat jam 12.00 tengah malam pada 30 Ogos serta keesokannya pula diadakan acara perarakan pada pagi 31 Ogos. Kemudian, pada 16 September pula diadakan upacara penutup Perayaan Bulan Kemerdekaan bersempena tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Pelbagai acara diadakan di seluruh negara seperti bacaan doa selamat dan Surah Yaasin, persembahan kebudayaan, pelbagai pertandingan dan sambutan oleh segenap lapisan masyarakat, agensi awam serta swasta bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan negara.
Pada tahun 2003, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Sambutan hari kebangsaan pada tahun itu diadakan buat kali pertama di Dataran Boulevard, Putrajaya. Acara pada tahun tersebut dianggap bersejarah dan dianggap sebagai hadiah rakyat kepada Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad yang telah 22 tahun berjasa kepada negara, menyumbang tenaga, pemikiran dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali serta disegani dunia.
Tahun 2004 menyaksikan tahun pertama Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mentadbir negara dan sambutan kemerdekaan peringkat nasional pada tahun ini diadakan di Dataran Kemunting, Kuantan, Pahang. Beliau terus memacu Malaysia ke hadapan dengan berteraskan prinsip prinsip demokrasi dan keterbukaan yang berpaksikan kepada gagasan Islam Hadhari dan moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Idea pembangunan negara diteruskan dengan penubuhan koridor koridor pembangunan di seluruh negara yang bertujuan memberikan manfaat pembangunan yang menyeluruh kepada rakyat di semua kawasan di negara ini.
“Marilah kita, semua rakyat Malaysia tanpa perlu rasa rendah diri, tanpa perlu rasa terpinggir, tanpa mengira bangsa dan agama, bangun menjadi negarawan di bumi sendiri. Kita semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia. Tidak ada individu di negara ini yang diiktiraf ‘lebih Malaysia’ dari individu yang lain”.-Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi-31 Ogos 2004.

No comments:

Post a Comment